Monday, November 29, 2010

Rintihan Umat

Wahai umat – yang di dadanya al-Quran
yang dulu wajah bersinar cahaya dari langit
tatkala dunia ini berada di penghujungnya
teringat akan ujar Nabi – Imam sekalian Mutaqqin
umatku banyak tak terbilang umpama buih di lautan

Wahai umat – yang diri ini sebahagian darinya
pernah mata ini menangis hati menjerit-jerit
ketika menyaksi lalai dan musnahnya insani
mengimbau bicara Nabi – cinta dunia takut mati

Wahai umat – yang sedang merintih hati
mampukah kita bertahan dan menahan
jika dengan sekadar iman yang ujarnya lagi
bagai carik dan tipis helai-helai bawang

Wahai umat – yang jika zamannya berputar
rindu pada kedamaian dan kebesaran silam
rahmat Junjungan dan keagungan Islam
mahu segera bersama bermusafir kembali
mahu menggenggam bara-bara api!

Dari tarikan nafas,
abuyon
Madrasah Sains
23 Ogos 1999, 10.30 malam