Wednesday, April 14, 2010

Gerak Perjuangan

Tua dan muda
sama bergerak berasak-asak
menolak debu yang kian pekat
yang penuh hitam dan mungkarat

Berjuta wajah
yang merah dan panas
bagai api yang menjilat
menyambar mana yang sempat
membakar dada meluap-luap

Takbir suci dan sorak semangat
sama pecah sama bergegak
dari luahan rasa tersarat
yang terpendam dan pekak

O, betapa dahsyat
jika dicoretkan api rasa ini –

Keadilan terencat, merobek
dada kebenaran akibat
menegak suatu gerak
perjuangan!

Dari tarikan nafas,
abuyon
Madrasah Sains
18 Mei 1999 2.00 petang



Inspirasi dan pengalaman ketika berada
di Kuala Lumpur bersama satu gerak
yang mengubah lanskap
politik tanahair

Sunday, April 11, 2010

Tak Tahu Nama

Sering kita bertegur sapa
Tak tahu nama, tersenyum
cuma

Bahagiakah kita, esok-esok
di daerah sana—

bila Tuhan tidak bertanya,
nama dan tidak pula
menyapa

Dari tarikan nafas,
abuyon
Madrasah Sains
02 Ogos 09 11.00 malam

Tuesday, April 6, 2010

Berikan Sekali-sekala

Sekali-sekala, berikan anak-anak
hidangan ikan kering, nasi dan air
kosong, biar mereka belajar erti
masinnya garam, nasi sesuap
dan air seteguk

Biar mereka belajar
erti hidup

Biar mereka belajar erti
bersyukur — pada-Mu
Tuhan — biar mereka
menyebut-nyebut

Dari tarikan nafas,
abuyon
Madrasah Sains
04 September 2009, ba’da taraweh