Thursday, February 18, 2010

Pagi Langsung Petang

Berpagi-pagi aku
berjalan menyusuri kaki lima
berlaga bahu dengan orang
berpusu-pusu, berduyun-duyun
bertali arus tak putus-putus
berpeluh-peluh aku
tanda letih, semput nafas
tanda lenguh, longgar sendi

Bang! air cincau satu
Lepas dahaga – syukur
pada Tuhan

Berapa? seringgit
Lepas bayar – terima kasih
pada manusia

Tapi letih aku, lenguh aku
bukan kerana penatnya berjalan
letih aku, lenguh aku kerana
mata cerah ini asyik memandang-mandang
menengok-nengok, menilik-nilik
wajah-wajah dan gerak-geri
sesiapa sahaja yang terkelih
sesiapa sahaja yang berselisih

Di gambar mata ini, kiri dan kanan
aneka macam, aneka ragam
ada yang nampak lesu, muram
ada yang nampak ceria, gembira

Tapi itu di orang, di awak?
Aku? Aku hanyalah pemerhati sepi
tabiat alam, tabiat insan dan tabiat diri
yang sedang langsung di pagi hari
dan akan terus langsung dan langsung
sampai ke saat petangnya

Dari tarikan nafas,
abuyon
Madrasah Sains
06 Nov 1997 7.24 malam



Inspirasi Chow Kit Road

Tuesday, February 9, 2010

Hadiah Buat-Mu

Pagi ini, hening suasana di subuh hari
bagaikan ada sang malaikat turun ke bumi
buat mengirimkan rahmat dan barakah dari Ilahi
Tuhan Rabbul Jalil

Tenang rasanya di hati ini
setenang air di kali, barangkali
tatkala itulah aku menyembahkan wajah
berteleku bersujud menghina diri
di hadapan-Mu

Di atas helaian sejadah yang telah lama berbekas
(sudah usang rupanya sejadah itu)
bengkak birai mata ini – merengek-rengek aku,
tersedu-sedu aku, hampir kering agaknya
telaga air mata panas ini

Namun apalah dayaku apalah upayaku
itulah yang termampu sesalanku atas dosaku
hadiah dariku buat-Mu merayu ampunan-Mu

Dari tarikan nafas,
abuyon
Madrasah Sains
7 Nov 1997 5.30 ptg

Tuesday, February 2, 2010

Antara Gerak

Seorang pemuda di tengah gelanggang
kaki melangkah tangan menari-nari
pandang matanya gerun seteru
dalam dadanya amanat pak guru

Musuh menyerbu kaki menerjah
elak tak elak pukulan singgah
jatuh tersungkur rebah ke tanah
kunci matinya menyekat darah

Bila darah bercampur keringat
alam dan insan menjadi satu
dalam diam musuhnya awas
sekali gerak sepuluh tewas

Gerak kita gerak Dia
Bukan kita tapi Dia

Dari tarikan nafas,
abuyon
Madrasah Sains
13 Ogos 1999 5.30pagi